|
Aqiqah
|
Korban

Takrif Al-Aqiqah
Al-Aqiqah dari sudut bahasa berasal dari perkataan
al-aqqu yang bermaksud potong. Asalnya ia digunakan
dengan makna rambut yang berada di atas kepala bayi
sewaktu dilahirkan. Dinamakan demikian kerana ia
perlu dicukur dan di potong.
Hukum Al-Aqiqah
Al-Aqiqah hukumnya adalah Sunat Muakkad, iaitu
ibadat yang sangat-sangat di tuntut kepada wali yang
menjaga bayi tersebut.
Dalil Al-Aqiqah
Dalil sunatnya ialah perbuatan Rasullah s.a.w
melakukan aqiqah, begitu juga para sahabat r.a. Dari
Salman bin Amir Ad-Dhobbi r.a katanya, “Aku
mendengar Rasullah s.a.w bersabda, “Bersama bayi itu
ialah aqiqahnya, maka tumpahkanlah darah untuknya
dan tanggalkan daripadanya perkara yang menyakitkan
iaitu kekotoran dan najis”. (5154).
Waktu Al-‘Aqiqah
Bermula waktu diharuskan menyembelih aqiqah dengan
keluarnya semua tubuh bayi dari dalam rahim ibunya.
Kalau ia disembelih sebelum sempurna keluarnya bayi
maka ia tidak dapat dianggap aqiqah, ia dianggap
daging biasa dan tidak mendapat sunat aqiqah.
Waktu sunatnya berterusan sehingga balighnya bayi
itu. Setelah baligh, bapanya tidak lagi dituntut
untuk melakukannya dan lebih baik dia melakukan
untuk dirinya sendiri sebagai memenuhi perkara yang
telah tertinggal.
Namun sunat yang dituntut ialah melakukan aqiqah
pada hari ketujuh daripada kelahiran bayi. Dalilnya
hadis riwayat Abu Daud (1522) dan selainya daripada
Samrah r.a katanya, “Rasullah s.a.w bersabda, “Bayi
itu di tebus (tergantung) oleh aqiqahnya,
disembelihkan ia pada hari ketujuh, dan pada hari
itu diberikan nama serta dicukur rambutnya”.
Maksud ditebus oleh aqiqahnya ialah pembesarannya
dalam keadaan baik dan penjagaannya akan sempurna
bergantung pada sembelihan untuknya. Dinyatakan juga
ia bermakna dia tidak boleh memberi syafa’at kepada
kedua ibubapanya jika tidak disembelihkan aqiqah
untuknya.
Hikmah Disyariatkan Aqiqah
Melambangkan kegembiraan dengan nikmat Alah s.w.t
yang menyenangkan kelahiran dan mengurniakan anak
kepada kedua ibubapa. Anak itu amat disukai oleh
pasangan ibubapa, maka sepatutnya dibuktikan
kesyukuran kepada pengurniaan dan pemberian nikamat.
Firman Allah
“Dan jika kamu bersyukur, nascaya ia meredhai bagimu
kesyukuran itu”. (As-Zumar: 7).
“Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nascaya Aku
akan tambah untuk kamu” (Ibrahim : 7).
“Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan
hidup di dunia” (Al-Kahfi: 46).
Memudahkan pengistiharan berita melahirkan anak
dan menyebarkannya kerana berita ini perlu diistihar
dan disebarkan agar jangan lahir cerita yang tidak
diingini, aqiqah adalah jalan terbaik untuk itu.
Menyuburkan sifat pemurah dan baik hati dikalangan
manusia dan melanggar hasutan nafsu yang mengajak
kepada sifat bakhil.
Firman Allah, ”Sedang sifat bakhil itu memang tabiat
semulajadi yang ada pada manusia” (An-Nisa: 128).
”Dan sesiapa yang menjaga dirinya dari kebakhilan,
maka mereka itulah orang-orang yang berjaya” (Al-Hasyr:
9)
Merapatkan hati keluarga, kerabat, kawan dan orang
miskin dengan menghimpunkan mereka untuk makan.
Dengan berhimpunnya mereka di atas satu hidangan
wujudlah kemeseraan, kasih sayang dan persaudaraan.
Islam adalah agama mesra, kasih sayang dan
persaudaran.
Binatang Yang Disembelih Untuk Anak Lelaki Dan
Anak Perempuan
Sunnah telah menetapkan, wali hendaklah menyembelih
seekor kambing bagi aqiqah lelaki dan untuk anak
perempuan juga seekor kambing. Dalilnya hadis yang
diriwatkan oleh At-Tirmizi (1059) daripada Ali r.a
katanya ”Rasullah s.a.w telah mengaqiqahkan
Al-Hassan dengan seekor kambing.
Tetapi ianya lebih afdhal jika wali menyembelih dua
ekor kambing untuk anak lelaki dan seekor untuk anak
perempuan. Dalilnya ialah hadis yang diriwatkan oleh
At-Tirmizi (1513) dan selainya dari Aisyah r.h,
katanya ”Rasullah s.a.w memerintahkan agar
mengaqiqahkan anak lelaki dengan dua ekor kambing
yang sempadan dan mengaqiqahkan anak perempuan
dengan seekor kambing”.
Banyaknya Aqiqah Mengikut Bilangan Anak
Adalah tidak memadai untuk mendapat sunat aqiqah
dengan menyembelih seekor kambing bagi bilangan anak
yang lebih dari seorang. Bahkan mengikut sunnah
ialah binatang sembelihan mengikut bilangan anak,
bagi seorang anak seekor kambing, bagi dua orang
anak dua ekor kambing, bagi tiga orang anak tiga
ekor kambing dan seterusnya.
Sekiranya seorang itu dikurniakan sepasang anak
kembar maka tidak cukup seekor kambing untuk
keduanya.
Abu Daud (2841) meriwtkan daripada Ibnu Abbas r.a
katanya ”Sesungguhnya Rasullah s.a.w telah
mengaqiqahkan seekor kibas untuk Al-Hassan dan
seekor kibas untuk Al-Hussain.
Al-Hakim (23714) dalam Al-Mustadrak meriwatkan
Rasullah s.a.w telah mengqiqahkan untuk Al-Hassan
dan Al-Hussain setiap seorang disembelih dua ekor
kibas yang serupa dan setanding bentuknya.
Syarat Aqiqah
Agar aqiqah yang dilakukan mendapat pahala,
disyaratkan semua seperti syarat korban dari sudut
jenis, umur dan bebasnya haiwan itu daripada
kecacatan yang menyebabkan kurangnya daging. Ini
disebabkan aqiqah adalah sembelihan yang disunatkan
maka ia sama dengan korban.
At-Tirmizi (1497) meriwatkan dan beliau
mensahihkannya begitu juga Abu Darda (2802) dan ini
lafaznya Abu Darda daripada Al-Barra’ bin ’Azib r.a
daripada Rasullah s.a.w sabdanya ”Empat perkara yang
tidak boleh ada dalam korban, cacat yang jelas
kecacatannya, sakit yang jelas penyakitnya, tempang
yang jelas tempangnya dan tulang patah yang tiada
sembuhnya”. Empat kecacatan ini dikiaskan kepada
semua kecacatan yang menyerupainya yang menyebabkan
ia kurus dan kekurangan daging.

|
Perbezan
Antara Aqiqah Dan Korban
Terdapat beberapa perbezaan antara
aqiqah dengan korban :
1. Aqiqah tidak terikat pada masa
tertentu, sedangkan korban dilakukan
pada masa-masa tertentu, iaitu selepas
sembahayang dan khutbah Hari Raya ’Aidil
Adha hingga 13 Zulhijjah.
2. Daging aqiqah boleh di beri milik
kepada orang kaya menakala daging korban
hanya boleh diberi kepada fakir miskin.
3. Aqiqah dilakukan sempena menyambut
kelahiran anak sebagai tanda kesyukuran
kepada Allah, menakala korban dilakukan
kerana memperingati peristiwa
pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya
Ismail a.s.
4. Daging korban sunat disedekahkan
secara mentah, sedangkan daging aqiqah
sunat disedekahkan setelah di masak.
5. Daging aqiqah sunat dimasak dengan
manis-manis, dengan doa harapan agar
agar akhlak dan kelakuan anak itu kelak
menjadi manis dipandang orang.
6. Tulang-tulang haiwan aqiqah sunat
dipotong pada sendi-sendinya menakala
tulang-tulang haiwan korban tidak
sedemikian.
7. Tuntutan melakukan aqiqah hanyalah
sekali sahaja sepanjang hayat, menakala
tuntutan melakukan korban ialah setiap
tahun Hijrah. |
|
|